AHLI Parlimen Kuala Selangor merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Irmohizam Ibrahim melihat isu Penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) sebagai sesuatu yang pelik.

Beliau, dalam satu kenyataan pada Jumaat menjelaskan tidak melihat rasional DIEG untuk menstruktur semula anak-anak syarikat Menteri Besar Incorporated (MBI).

Berikut adalah kenyataan media penuh beliau:

1. Saya sebagai Ahli Parlimen Kuala Selangor, saya melihat isu Penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) oleh kerajaan negeri Selangor bagi menstruktur pelaburan 12 entiti yang berada di bawah Menteri Besar Incorporated (MBI) sebagai sesuatu yang pelik dan bak kata pepatah 'ada udang di sebalik batu' di mana ada maksud yang tersembunyi di sebalik penubuhan tersebut.

2. Apatah lagi saya juga tidak melihat rasional DIEG tersebut perlu didaftarkan di bawah Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menstruktur semula anak-anak syarikat, yang mana boleh dilakukan di bawah MBI itu sendiri, dan tidak perlu satu entiti baharu di bawah SSM.

3. DEIG dalam konteks ini diberi kuasa mutlak yang boleh menguruskan semua anak-anak syarikat di bawah MBI yakni tiada semak dan imbang yang seterusnya dapat menyebabkan masalah ketelusan dan akauntabiliti.

4. Satu lagi perkara yang masih menjadi tanda soal ialah terma pinjaman DEIG yang sangat pelik dan mengelirukan di mana DEIG boleh membuat pinjaman dan tidak perlu melaporkan auditnya kepada pihak kerajaan negeri mahupun di Dewan Undangan Negeri yang mana ini menjadikan entiti ini bebas audit.

5. Perkara ini seterusnya membawa kepada risiko ketidaktelusan maklumat terutama berkaitan dengan kewangan daripada umum yang dapat memberi risiko kewangan yang serius kepada kerajaan negeri.

6. Saya juga khuatir DIEG ini adalah cubaan untuk dijadikan sebagai saluran mendapatkan sumbangan politik, maka ditiadakan mekanisme audit yang sewajarnya secara sengaja. Saya menyeru Jabatan Audit Negara boleh bertindak utk melakukan audit akaun DIEG.

7. Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, perlu juga menjelaskan status dua orang yang dijadikan pemegang saham DEIG yang diberi mandat menguruskan aset rakyat Selangor. Siapakah kedua org individu ini?

8. Untuk rekod, semasa pemerintahan BN di Selangor, MBI mempunyai banyak aset, dan saya selaku Ahli Parlimen BN di Selangor berhak mempersoalkan ketelusan penubuhan entiti ini yang dengan jelas memperlihatkan akan membawa kerugian kepada rakyat di negeri ini.

9. Saya berpendapat adalah mesti untuk merangka suatu undang-undang untuk mengawal operasi entiti ini yang melibatkan nilat aset MBI berjumlah RM6.3 bilion sekaligus mengurangkan risiko penyalahgunaan wang rakyat. SPRM harus menyiasat secara serius kerana tuduhan ini adalah sangat berat dan dikatakan melibatkan dana awam. Pihak PAC juga boleh memainkan peranan dalam usaha mendapatakan maklumat atas dana yg dibangkitkan.

10. Sekiranya, Menteri Besar Selangor tidak bersetuju dengan cadangan-cadangan yang diberikan oleh semua pihak dan terus mempertahankan pendiriannya berkaitan penubuhan entiti ini maka sudah pasti 'ada udang di sebalik batu' yang mana rakyat sendiri dapat menilai.


* Datuk Irmohizam Ibrahim merupakan Ahli Parlimen Kuala Selangor merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.