Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali diminta membuat penjelasan berhubung dakwaan anak syarikat kerajaan negeri, Darul Ehsan Investment Group (DEIG) digunakan untuk memperoleh dana politik bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi.

Penasihat Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao mendakwa syarikat itu digunakan untuk mewujudkan empat projek khas bernilai RM8 bilion, yang mana sebahagiannya akan digunakan untuk dana politik.

"Saya difahamkan RM8 bilion ini dibawa masuk ke dalam DEIG melalui projek-projek yang dikatakan direka khas, manakala kemudahan kewangan didakwa dibantu dua syarikat swasta dari China," katanya kepada pemberita di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini pada Khamis.

Ramesh turut menyerahkan memorandum menuntut penjelasan mengenai dakwaan tersebut, kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei.

Empat projek itu, dakwanya melibatkan pembinaan terminal pukal di Pulau Carey, pembangunan tenaga solar di Sepang dan pembangunan kondominium serta pusat kebudayaan Cina, masing-masing di Klang.

Kesemua projek tersebut dikatakan dirancang atas tanah milik Yayasan Selangor manakala tiga daripadanya melibatkan kerjasama dengan syarikat swasta.