KUALA LUMPUR:Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa semua parti politik agar tidak meletakkan calon dan sekali gus memberi kemenangan percuma kepada UMNO di Gerik.

Kerusi Parlimen Gerik kosong ekoran kematian penyandangnya Datuk Hasbullah Osman pada Isnin akibat sakit jantung.

Guan Eng berkata, cadangannya itu dibuat bertujuan mengekang risiko penularan wabak COVID-19 semasa pilihan raya kecil.

“Pemergian Hasbullah mengundang satu lagi pilihan raya kecil dalam 60 hari, yang boleh menimbulkan risiko kesihatan dan keselamatan awam ketika Malaysia berada di tengah-tengah lonjakan tinggi jangkitan COVID-19.

“Sebagai pengiktirafan khidmat beliau dan bahawa Malaysia berada dalam gelombang ketiga jangkitan COVID-19 yang teruk, seharusnya tidak ada pertandingan dalam pilihan raya kecil oleh parti-parti untuk melawan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebooknya.

 
Sumber Facebook limguaneng.malaysia

Dalam perkembangan sama, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Hasbullah.

“DAP merakamkan ucapan takziah kepada keluarga ahli Parlimen UMNO Gerik, Hasbullah Osman yang meninggal dunia semalam akibat serangan jantung.

“Walaupun berada di sebelah pihak lawan, Hasbullah telah berkhidmat lebih daripada dua penggal sebagai ahli Parlimen dan kepada rakyat di kawasannya,” ujarnya.

Allahyarham Hasbullah meninggal dunia pada usia 63 tahun, di Raub, Pahang pada Isnin, akibat sakit jantung.

BACA: Ahli Parlimen Gerik, Hasbullah Osman meninggal dunia

BACA: Agong zahir takziah kepada keluarga Hasbullah

BACA: Dewan Rakyat rakam takziah kepada keluarga Allahyarham Hasbullah