Sebaliknya, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menempelak Sanusi yang dianggap lebih banyak bermain politik.
“Kenyataan beliau itu tidak benar. Perdana Menteri bukan sahaja banyak luangkan masa melawat bagi mengenal pasti masalah yang perlu diatasi segera.
“Malah, mempercepat proses untuk melaksanakan projek-projek seperti lawatan beliau ke Rantau Panjang untuk lihat masalah bersebelahan dengan Sungai Golok. Sejumlah perkara dipercepat.
“Saya lihat yang banyak main politik ini Menteri Besar Kedah. Main politik sampai hendak tangkap hari orang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Mingguan Kerajaan Perpaduan pada Selasa.
Tambah Fahmi, Perdana Menteri menyatakan dari awal tidak perlu ada sentimen politik dalam isu pembangunan termasuk di negeri-negeri yang diurus tadbir oleh parti pembangkang.
Menurutnya, Anwar hanya tegaskan aspek tadbir urus dan tatakelola yang baik diutamakan dalam proses pembangunan berkaitan.
Pada Isnin, Sanusi dalam ucapan semasa Sidang Kemuncak Empat Kerajaan Negeri (SG4), mendakwa Menteri dan Timbalan Menteri Kerajaan Perpaduan masih mengamalkan sentimen politik tebal dengan negeri pembangkang.
Menteri besar Kedah itu berkata, walaupun pembangkang sudah membuka ruang seluasnya untuk bekerjasama tetapi mereka tetap ingin ‘bermain politik’.