BEBERAPA minggu lalu, kami melaporkan bahawa terdapat ura-ura kuat mengatakan bahawa Qualcomm, syarikat pembuat cip pemprosesan yang menguasai sejumlah besar peranti pintar di dunia mahu mengambil alih syarikat pereka dan pengeluar cip semikonduktor Intel.


Ringkasan AI
  • Qualcomm, Apple, dan Samsung sedang mempertimbang untuk mengambil alih Intel, yang kini bernilai sekitar AS$90-99 bilion, walaupun nilai syarikat tersebut sedang menurun.
  • Intel masih memegang peratusan besar pasaran komputer riba dengan cip terbaharu mereka seperti Meteor Lake dan Lunar Lake, dan mereka sedang membangunkan proses 18A untuk cip masa depan.
  • Keunikan Intel terletak pada pemilikan arkitektur X86 dan kemampuan mengilangkan cip mereka sendiri, yang menarik minat syarikat-syarikat besar untuk mengurangkan kebergantungan pada pembekal lain seperti TSMC.


Terkini, terdapat lagi ura-ura yang mengatakan bahawa Apple dan Samsung juga sedang mempertimbangkan pengambilalihan syarikat tersebut.

Walaupun nilai syarikat Intel kini sedang menurun dengan kadar yang tinggi, mereka masih memegang peratusan besar sektor komputer riba pengguna dengan penawaran cip pemprosesan terbaharu mereka seperti Meteor Lake dan Lunar Lake yang baru sahaja dilancarkan.

Keunikan Intel hadir melalui pemilikan arkitektur cip pemprosesan komputer X86 yang digunakan secara meluas, manakala ia juga salah satu dari segelintir syarikat teknologi yang hadir dengan kemampuan mengilangkan cip semikonduktor mereka tersendiri, walaupun buat masa ini, cip pemprosesan Lunar Lake dan Arrow Lake-S dibina menggunakan proses teknologi TSMC.

Mereka sedang membangunkan proses 18A terbaharu mereka, yang dijangka beroperasi pada pertengahan tahun hadapan, dan akan mula mengilangkan cip pemprosesan akan datang seperti Intel Nova Lake kelak.

Untuk Qualcomm, kemampuan mereka memiliki IP X86 merupakan sesuatu yang besar, khususnya untuk Qualcomm kerana syarikat tersebut kini sedang melalui pergelutan dengan ARM kerana isu lesen teknologi.

Apple dan Samsung pula berminat untuk mengambilalih Intel kerana kemampuan syarikat tersebut dalam mengilangkan cip pemprosesan mereka sendiri.

Bagi Apple, pengambilalihan ini dilihat sebagai satu cara untuk mengurangkan kebergantungan terhadap TSMC, manakala untuk Samsung pula, ini akan memberikan mereka satu kelebihan yang cukup tinggi untuk memiliki kilang pengeluaran semikonduktor yang sudah siap dibina di Amerika Syarikat.

Intel kini bernilai sekitar $90-99 bilion, dan untuk sebuah syarikat yang bertanggungjawab dalam membangunkan sektor perkomputeran pengguna dan industri, nilai tersebut cukup rendah dimana syarikat-syarikat bernilai beratus bilion ataupun trilion boleh memikir untuk mengambilalihnya.

Buat masa ini, perkara ini masih lagi dilihat sebagai sebuah ura-ura, tetapi oleh kerana Intel boleh dikatakan sebuah aset strategik khususnya untuk kerajaan Amerika Syarikat, ia tidak mengejutkan untuk melihat bahawa terdapat banyak syarikat yang berminat untuk mengambilalihnya. -Amanz