GEORGE TOWN: InvestPenang, agensi pengalakan pelaburan negeri, sedang berhubung dengan Intel di Pulau Pinang susulan laporan bahawa pengeluar cip dari Amerika Syarikat (AS) itu menghentikan sebahagian projek pembungkusan dan pengujian cip baharu di Pulau Pinang.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata syarikat itu akan mengeluarkan kenyataan pada masa yang sesuai kerana sedang menilai situasi semasa.

"Kita tidak boleh bercakap bagi pihak mereka. Mereka akan mengeluarkan kenyataan apabila keputusan telah dibuat.

"Kita tidak tahu apa-apa mengenai pengumuman yang akan dibuat itu nanti, jadi kita perlu menunggu. Saya percaya sebagai sebuah syarikat terkemuka, mereka mempunyai prosedur dan proses untuk menguruskan isu seperti ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Kluster Peralatan Teknologi Canggih (ATEC) di sini, pada Sabtu.

Rabu lepas, media tempatan melaporkan Intel telah menghentikan sebahagian pengembangan mereka di Pulau Pinang, yang merupakan sebahagian daripada pelaburan AS$7 bilion (RM30.3 bilion) di Malaysia, yang pertama kali diumumkan pada 2021.

Keputusan tersebut diambil berikutan masalah aliran tunai yang menyebabkan Intel menggantung pembayaran dividen dan memulakan pengurangan pekerjaan di semua operasinya di seluruh dunia, menurut laporan itu.

Intel melaporkan pendapatan sebanyak AS$12.8 bilion pada suku kedua tahun kewangan 2024, turun satu peratus daripada tempoh sama tahun kewangan 2023, dan kerugian bersih sebanyak AS$1.6 bilion.

-- BERNAMA