Semua anggota PKR perlu menghormati keputusan Presiden parti dalam pemilihan Pengerusi Pimpinan Negeri.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak melakukan secara peribadi, sebaliknya, beliau terlebih dahulu berunding dan mendapatkan kesepakatan kesemua Ketua Cabang sebelum membuat keputusan.

"Sejak kongres berakhir, Anwar telah mengambil masa lebih sebulan untuk berunding dengan Ketua Cabang, dia (Anwar) sudah berunding dengan semua Ketua Cabang dari Perlis ke Sabah", katanya.

Tambahnya, setelah berunding, perlembagaan parti mengatakan Presiden parti boleh melantik Pengerusi Negeri.

Jelas beliau lagi, parti tidak memerlukan pelan pemulihan sekiranya tidak berlaku pertikaian dalam kalangan ahli malah menghormati proses dan keputusan Anwar.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ditemui pada Majlis Penyampaian Sijil Food Truck Malaysia (FTM) dan penyerahan kenderaan Program Transformasi Peniaga di Putrajaya pada Khamis.