IOS 18 adalah sistem operasi generasi seterusnya oleh Apple untuk 24 model iPhone terpilih.

Apple akhirnya membawakan integrasi kecerdasan buatan generatif iaitu Apple Intelligence, ciri kustomasi yang mendalam, menyokong pemesejan RCS, menawarkan Game Mode serta turut boleh mengembalikan gambar dan video yang hilang atau rosak.

Selepas lebih sebulan diperkenalkan dan penggunaan terhad kepada pembangun, iOS 18 Public Beta kini sedia diuji.

Terdapat banyak perkara menarik yang Apple bawakan seperti yang telah kami nyatakan dalam artikel 18 Ciri Menarik Pada iOS 18.

Walaupun Apple Intelligence terhad kepada iPhone dengan cip Apple A17 Pro, masih ada banyak ciri menarik lain boleh diuji seperti Control Center baharu, mengunci aplikasi dengan Face ID, mengubah suai skrin utama, aplikasi Photos yang lebih pintar, atau aplikasi Notes yang turut boleh menyelesaikan kiraan secara automatik.



Perlu diingatkan yang walaupun iOS 18 Public Beta sedia dimuat turun, ia masih lagi dalam peringkat pembangunan dan ujian.

Ada banyak ciri dan fungsi belum ditawarkan atau tidak stabil untuk digunakan. Jika anda ingin mengujinya pada iPhone sendiri, pastikan sandaran telah dilakukan.

Pada masa yang sama Public Beta untuk macOS Sequoia, iPadOS 18, watchOS 11 dan tvOS 18 turut sedia diuji. -Amanz