Majlis Kerja Tertinggi UMNO hari ini memutuskan agar Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dilantik sebagai Setiausaha Agung parti yang baharu, menggantikan Tan Sri Annuar Musa.

Annuar, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dalam catatan terbaharunya berkata, perkara itu telah dipersetujui kesemua ahli MKT dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Selain itu, Naib Ketua Pemuda UMNO Shahril Sufian Hamdan pula dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO baharu menggantikan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

“Presiden UMNO mengumumkan pelantikan Datuk Ahmad Maslan sebagai SUA UMNO yang baharu menggantikan saya, dan saudara Shahril Hamdan sebagai Ketua Penerangan menggantikan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

“Kepada kedua dua mereka kita ucapkan tahniah dan selamat menjalankan tugas,” katanya lagi.

BERITA LANJUT MENYUSUL