KUALA LUMPUR :Semua 18 ahli Parlimen Pas dijangka memberikan sokongan padu kepada Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 6 November ini.

Keyakinan itu disuarakan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang menegaskan, semua ahli politik perlu sepakat menyokong belanjawan itu kerana ia merupakan agenda penting demi kebaikan rakyat.

Beliau turut menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menasihatkan ahli Dewan Rakyat  untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021.

“Bagi kita, ia merupakan satu penyelesaian kepada kemelut yang sedang berlaku kebelakangan ini. Saya kira ahli Parlimen tak kiralah pembangkang atau kerajaan dapat ambil nasihat ini sebagai satu isyarat positif demi kebaikan rakyat.

“Sudah tentu agenda untuk meluluskan belanjawan merupakan agenda penting kerana tanpa kelulusan, sudah tentu kerajaan tidak boleh buat perbelanjaan kerana bajet perlu diluluskan di Dewan Rakyat,” katanya kepada Astro AWANI.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Pas konsisten dengan pendirian menyokong penuh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Begitupun, beliau tetap melahirkan kebimbangan melihat situasi politik negara yang tidak menentu kebelakangan ini.

“Kita tidak mahu kerajaan ini... ikatan yang diikat ini terlerai begitu sahaja akibat pertembungan yang tidak diselesaikan dari awal.

“Kita mahu setiap pihak duduk semeja dan jangan sampai ruang perbezaan ini membuka ruang kepada musuh untuk masuk.

“Akhirnya mereka menyebabkan kerajaan yang ada pada hari ini berakhir dan bertukar kepada kerajaan yang tidak membawa aspirasi rakyat,” ujarnya.

BACA: Agong mahu ahli politik hormat titah Baginda, beri sokongan padu pada Belanjawan 2021

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah bertitah menasihatkan ahli-ahli Dewan Rakyat supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021.

Dalam satu kenyataan hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraj, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda bertitah bahawa sokongan terhadap Belanjawan itu penting demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat, serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.