Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.

Perkara tersebut diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Gerakan BN di sini hari ini.

Beliau yang merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar merupakan antara tujuh nama yang dikemukakan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam ucapan Ahmad Zahid ketika mengumumkan calon, beliau berkata calon yang dipilih Najib adalah anak tempatan yang boleh meneruskan kesinambungan BN di Sungai Besar.

"Tetapi yakinlah, bahawa yang terpilih ini, yang akan saya umumkan ini, kalau saya yakin dia disokong oleh kita semua, berjanjilah, kita ketepikan perbedaan antara kita.

"Janji? Janji? Janji? Ketepikan jika ada rasa kecil hati dan sebagainya kerana terlalu ramai yang layak jadi calon. Datuk Noh telah mengemukakan tujuh nama," kata Zahid.

Budiman, 44, adalah anak tempatan yang berasal dari Kampung Sungai Limau di Sungai Besar, dan juga Setiausaha ADUN BN Selangor.

Beliau, yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkahwin dengan Norma Aida Abdullah dan dikurniakan seorang anak perempuan berumur 16 tahun.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada 2013, Budiman menang kerusi DUN Sungai Panjang selepas menewaskan Mohd Fadzin Taslimin daripada PAS dengan majoriti 2,183 undi.

Seramai 42,655 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 42,365 pengundi biasa, 286 pengundi awal dan 4 pemilih tidak hadir luar negara layak menunaikan tanggungjawab mereka pada PRK Parlimen Sungai Besar.

Kerusi Parlimen Sungai Besar kosong berikutan penyandangnya Datuk Noriah Kasnon yang juga merupakan Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRK dijalankan serentak pada 18 Jun nanti.