Polis Diraja Malaysia akan terus memastikan kawalan keselamatan pada hari pengundian Ahad ini berada pada tahap tertinggi agar pengundi dapat melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa rasa takut.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis sentiasa bersedia untuk mengambil langkah perlu bagi memastikan kelancaran proses pengundian.

"Tindakan tegas akan diambil ke atas sesiapa yang cuba mencetuskan kekecohan pada hari pengundian tanpa mengira jantina, umur dan status," katanya dalam wawancara khas dengan media mengenai pilihan raya umum ke-13 (PRU13) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

"Kita tahu memang ada kawasan panas iaitu kawasan yang dijangka berlaku pertembungan sengit antara parti yang bertanding, tetapi pihak polis tetap akan mengawal situasi berkenaan," katanya.

Ismail juga menyeru semua pihak supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan supaya PRU13 berjalan dengan lancar.

Pada masa yang sama beliau mengingatkan semua pihak agar menyemak maklumat yang diterima berhubung PRU13 bagi mengelak terpedaya dengan khabar angin tidak berasas.

Ismail juga menasihatkan orang ramai supaya menerima keputusan PRU13 dengan hati yang terbuka dan tidak terbawa-bawa sehingga mencetuskan kekecohan, terutama jika tidak berpuas hati dengan keputusan.

"Sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan PRU13, pihak berkenaan boleh membuat petisyen di mahkamah dan jangan sesekali terlibat dalam demonstrasi jalanan," katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyamar sebagai 'pemantau bebas' PRU13 di pusat-pusat pengundian.

"Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya mendapati ada pihak yang menyamar sebagai 'pemantau bebas' di kawasan pengundian," katanya.