Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), Hu Phang Chow disebut-sebut akan bertanding dalam pilihan raya umum kali ini mewakili parti Islam itu di salah satu kerusi Parlimen di Johor.

Astro Awani juga difahamkan Pas dijangka akan sekali lagi menurunkan lulusan undang-undang, R. Kumutha bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram dalam kawasan parlimen Johor Bahru.

Kumutha, yang menggunakan simbol Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihan raya 2008 kerana isu teknikal, tewas kepada Maulizan Bujang daripada Barisan Nasional (BN).

Laporan Harakah terbitan hari ini juga memetik Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas akan meletakkan tiga calon bukan Islam bertanding kerusi Parlimen termasuk seorang Iban.

"Beberapa orang bukan Islam dari DHPP telah dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya tidak lama lagi," lapor Harakah memetik kenyataan Abdul Hadi.

DHPP yang dilancarkan pada Mei 2010 mempunyai lebih kurang 35,000 ahli.

Pencalonan calon bukan Islam bagi mewakili Pas telah dipersetujui oleh Majlis Syura parti itu yang menetapkan syarat antara lain bahawa calon berkenaan mestilah seseorang yang berpegang kepada prinsip dan perjuangan parti.

Pas sebelum ini juga dilaporkan bersetuju untuk meletakkan calon daripada kalangan bukan Islam mewakili parti itu bertanding di Sarawak dan Johor pada PRU-13.

DHPP bagaimanapun meminta Pas Pusat memperuntukkan satu kerusi bagi sayap itu di setiap negeri, tidak kira sama ada kerusi Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

Abdul Hadi baru-baru ini mengumumkan Pas kali ini akan bertanding 76 kerusi Parlimen iaitu pertambahan 10 kerusi berbanding semasa pilihan raya umum yang lalu.

Calon-calon itu akan diumumkan secara berperingkat-peringkat oleh pesuruhjaya negeri masing-masing.
Pesuruhjaya Pas Negeri Perak, Abu Bakar Hussein dijadual memperkenalkan calon-calon yang akan bertanding di negeri itu dalam satu program khas di Lumut pada Selasa.

Calon bagi Pas di negeri Terengganu pula dijadual akan diumumkan di Marang pada Khamis.