Meskipun terdapat spekulasi yang mengatakan negara akan muflis jika pembangkang mengambil alih pemerintahan, namun ada yang berpendapat sebaliknya.

Mantan timbalan perdana menteri, Tun Musa Hitam berpendapat bahawa ekonomi negara tidak akan merudum sekiranya pembangkang memerintah.

“Dalam erti kata lain, saya rasa tidak. Saya dah sebutkan secara terbuka kepada pegawai-pegawai bank dan juga orang-orang luar (asing).

“Dasarnya untuk melegakan komuniti pelabur… itu lah pertimbangan peribadi saya, keputusan peribadi saya,” kata Tun Musa kepada pemberita selepas program dialog Bicara Minda: Survival Ekonomi Melayu anjuran Sinar Harian pada Selasa.

Ini kerana, kata beliau pembangkang tidaklah terlalu bodoh sehingga melunturkan pelaburan termasuk pelabur asing.

Katanya, matlamat mereka (pembangkang) adalah sama seperti orang lain iaitu mahu bersaing di dalam pilihan raya.

Kata Tun Musa, dalam persaingan tersebut, kesemuanya ingin membuktikan bahawa idea mereka adalah yang terbaik demi untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Kamu perlu menerimanya. Kamu tidak boleh berkata (pemerintahan) sesuatu pihak boleh menyebabkan keruntuhan ekonomi,” tambah beliau.

Dasar ekonomi Pakatan Rakyat (PR) iaitu Buku Jingga, mendapat kiritikan hebat daripada pemimpin negara termasuk Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Khairy dalam satu kenyataan pada Debat Sinar bulan Mei 2012 berkata, rancangan yang terkandung dalam Buku Jingga boleh menyebabkan negara muflis akibat daripada cara pengurusan wang negara yang tidak berhemah.

Beliau mendakwa perkara itu dapat dilihat apabila banyak janji yang diperkatakan dalam buku tersebut tidak ditunaikan oleh PR apabila memerintah beberapa negeri.

Program Bicara Minda Sinar Harian telah diadakan di pejabat Karangkraf dan telah dipengerusikan oleh bekas ketua pengarang New Straits Times, Tan Sri Abdullah Ahmad.