Jangan politikkan isu pencerobahan di Sabah memandangkan terlalu ramai nyawa terkorban.

Sebaliknya parti politik di negara ini perlu mengambil pendekatan bipartisan dalam menyelesaikan masalah yang melibatkan kedaulatan negara.

Pandangan berkenaan dibuat Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin .

Jelasnya mana-mana parti politik sama ada Barisan Nasional (BN) atau pihak pembangkang perlu melihat isu ini tanpa mengira modal politik yang dapat diraih.

"Kita sekarang menghadapi satu musuh yang mencabar kita dari luar. Dalam konteks ini kita seharusnya bipartisan. Ia isu negara, keselamatan, integrity dan kehormatan negara sedang dicabar.”

Tambahnya adalah tidak bijak jika mereka mengambil kesempatan terhadap krisis yang sedang berlaku ini.

Tegas beliau, kesemua pihak perlu bersatu selain mengelak percaturan atau sandiwara politik yang tidak membantu dalam usaha mencari penyelesaian terhadap isu pencerobohan tersebut.