Profesor ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berpendapat, majlis perundingan seperti yang diadakan di Temerloh itu penting kerana ia memberi peluang orang ramai membuat aduan.

Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA) UKM itu juga percaya, program ala mini parlimen yang diadakan di Dewan Mentakab semalam akan menjadikan orang ramai lebih berani menyuarakan pendapat.

Menurut Shamsul, salah satu perkara penting yang beliau lihat dalam kajian KITA-MESRA oleh Institut Kajian Etnik ialah bagaimana hendak menyampaikan aduan.

"Dengan adanya majlis perundingan ini bermakna orang-orang di peringkat daerah ini tidak perlu menunggu untuk menyampaikan rasa tidak puas hati mereka. "

Tambah beliau, mewujudkan suasana bagi orang ramai merasakan mereka diberi peluang untuk menyampaikan hasrat tidak puas hati juga amat penting.

Sementara itu beberapa pelajar Tingkatan Enam Atas SMK Temerloh turut menyambut baik majlis perundingan tersebut.

Nur Husna Syed Azahari berkata, "Walaupun ini bukan parlimen yang sebenar tetapi daripada situ kita dapat tahu sedikit sebanyak daripada majlis ini."

Sementara itu, Norhafiza Razali berkata, "Sebelum ini saya tidak berapa faham tentang parlimen bagaimana mereka bersidang dan sebagainya. Jadi dengan pendekatan sebegini saya boleh faham perbahasan tu sendiri.."

"Saya ingin mengesyorkan agar rundingan seperti parlimen ini boleh dibuat balik untuk tahun-tahun berikutnya kerana kita boleh tahu apa yang diingini oleh rakyat." ujar Mohd Fahmi Fikri Rodzi.
Majlis Perundingan Parlimen Temerloh itu dihadiri pelbagai wakil agensi kerajaan dan juga wakil penduduk Termerloh.