Seramai 600 anggota dan penyokong kuat PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Tasek Gelugor pada malam Sabtu bertindak menyertai Parti Progresif Penduduk (PPP) iaitu sebuah parti komponen Barisan Nasional, selepas hilang kepercayaan terhadap Pakatan Rakyat.

Wakil kumpulan berkenaan, M.Thenasegaran, 43, berkata pada Pilihan Raya Umum 2008, beliau merupakan penyokong kuat PAS namun sepanjang lima tahun lepas, parti itu langsung tidak menghargai kaum India di Tasek Gelugor.

"Sudah sampai masanya saya memberi sokongan kepada BN kerana selama lima tahun di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, mereka terutama PAS tidak pernah peduli tentang orang India di sini.

"Walaupun kami tidak menyokong BN, tetapi segala pembangunan dan bantuan untuk masyarakat India di sini diberi oleh kerajaan BN, mereka tidak pernah melupakan kami," katanya.

Sementara itu bekas penyokong PKR P.Balaraman, 54, berkata pemimpin Pakatan Rakyat di negeri ini tidak pernah mempedulikan nasib kaum India di Pulau Pinang.

"Mengapa kami harus mengundi mereka (Pakatan Rakyat) sedangkan mereka tidak pernah peduli nasib kami. Saya juga menyeru pengundi India di negeri ini, terutama di Tasek Gelugor, supaya mengundi calon BN," katanya.

Dalam pada itu Calon BN Parlimen Tasek Gelugor Shabudin Yahya berkata masyarakat India di negeri ini sudah muak dengan Pakatan Rakyat dan berasa selamat menyertai BN demi masa depan mereka.

"Saya berterima kasih dengan sokongan kaum India di sini, terutama mereka yang menyerahkan borang menyertai PPP malam ini. Saya lihat kaum itu sentiasa memberikan sokongan kepada kita.

"Mereka juga percaya hanya BN mempunyai misi dan visi untuk semua kaum tanpa mengira agama," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima borang permohonan menyertai PPP daripada wakil penduduk pada satu majlis ringkas di Tamah Rethina.

Turut hadir calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Berangan Omar Abdul Hamid dan Ketua PPP bahagian Tasek Gelugor P.Thaiyalan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, seramai 3,666 pengundi terdiri daripada kaum India di Tasek Gelugor.

Parlimen itu menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Shabudin, calon PAS Datuk Abdul Rahman Maidin serta calon bebas Datuk Seri Mohd Shariff Omar.