Penuntut-penuntut Malaysia di Australia mempunyai peranan sebagai duta bagi menjelaskan kepada rakyat negara ini mengenai tragedi membabitkan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS)
Penerbangan MH370 dan nahas Penerbangan MH17.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata mereka juga boleh menjadi suara rakyat Malaysia di luar negara bagi menjelaskan bagaimana negara melalui kedua-dua tragedi itu dan berupaya mendapat kerjasama daripada 26 negara termasuk kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat bagi menjejaki MH370.

Beliau berkata mereka juga perlu memahami bagaimana Malaysia mengatasi perbezaan geopolitik bagi mendapatkan kotak hitam MH17 dan mengeluarkan mayat mereka yang terkorban.

Para penuntut itu juga diminta menjelaskan pendirian Malaysia terhadap Negara Islam (IS) yang tidak mewakili Islam selain usaha negara membendung pengaruh pergerakan itu.

"Kita telah melalui masa yang sukar. Kita tidak perlu meminta maaf mengenai di mana kita berada kini tetapi kita perlu memberi perhatian ke mana yang mahu kita tuju," katanya pada majlis makan malam sambutan Deepavali bersama-sama 83 pelajar Malaysia di sini, Khamis.

Hishammuddin diiringi isteri Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah. Antara mereka yang hadir pada majlis itu ialah Konsul Jeneral Malaysia di Perth Hafizah Abdullah, Naib Presiden Petronas bagi Pengurusan Petroleum Malaysia Adif Zukifli dan Pengarah Urusan DRB-HICOM Tan Sri Mohd Khamil Jamil.

Hishammuddin kini dalam lawatan kerja tiga hari ke Australia bagi melancarkan kapal sewa kontrak Malaysia, Go Phoenix, dan kenderaan canggih sonar pengesan dalam air Pro Synthetic Aperture Sonar (ProSAS) di Pelabuhan Freemantle di sini, semalam.

Kapal itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia mencari pesawat MH370 yang penerbangannya dipercayai berakhir di kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi, kira-kira 3,000 km dari Perth, selepas hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac.

Kapal itu akan menyertai kapal sewa kontrak "Fugro Discovery" dan "Fugro Equator" dalam operasi mencari Malaysia-Australia.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah kira-kira sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.

Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Usaha mencari pesawat itu masih diteruskan, namun tiada sebarang bukti kukuh ditemui setakat ini.

Penerbangan MH17 pula dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila terhempas di Donetsk, timur Ukraine dekat sempadan Rusia pada 17 Julai.

Pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal dipercayai ditembak jatuh tetapi sehingga kini tiada pihak mendakwa bertanggungjawab terhadap tindakan kejam itu.