Presiden Russia, Vladimir Putin telah memberi kerjasama dan bersikap konstruktif apabila diminta bantuan untuk membenarkan pasukan penyiasat masuk ke kawasan pesawat MH17 yang terhempas di Ukraine, kata Menteri Luar Australia, Julie Bishop pada Sabtu.

Bishop menemui pemimpin Rusia itu ketika menghadiri Mesyuarat Asia-Eropah, beberapa hari selepas Perdana Menteri Australia, Tony Abbott memberi amaran bahawa beliau akan bersemuka dengan Putin berhubung insiden pesawat itu ditembak jatuh pada mesyuarat G20 bulan depan.

"Saya telah mengadakan perbincangan yang amat terperinci dengannya," kata Bishop kepada Perbadanan Penyiaran Australia (ABC).

"Saya menyatakan keprihatinan kita mengenai nahas pesawat Penerbangan Malaysia itu, MH17 yang mana sebilangan rakyat Australia terkorban, dan saya merayu beliau menggunakan pengaruh Rusia ke atas pemisah di timur Ukraine itu untuk membolehkan penyiasat kami dapat masuk ke tempat kejadian.

"Putin berkata beliau akan cuba memenuhi permintaan saya dengan meminta pemisah memberi akses berkenaan," kata Bishop.

Bishop berkata, beliau memberitahu pemimpin dunia lain bahawa Putin "memberikan kerjasama dan bertindak secara konstruktif" kepada permintaannya.

Penerbangan Amsterdam-Kuala Lumpur itu ditembak di udara pada 17 Julai lalu ketika ia terbang di wilayah yang dikuasai pemberontak di timur Ukraine, serangan yang Kiev dan Barat mendakwa dilakukan oleh pemisah pro-Russia menggunakan peluru berpandu darat ke udara.

Isnin lalu, Perdana Menteri Australia Tony Abbott menegaskan beliau akan bersemuka dengan Putin pada Sidang G20 bulan depan berhubung kehilangan nyawa rakyat Australia dalam nahas pesawat MH17 di Ukraine.