Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyarankan pesara kerajaan di negeri ini supaya terus menimba ilmu pengetahuan meskipun selepas menamatkan perkhidmatan dalam sektor awam.

Beliau berkata ini penting bagi memastikan tahap kemajuan diri mereka dapat terus ditingkatkan, sekali gus memberi nilai tambah dalam kehidupan seharian.

"Jangan anggap bila sudah bersara, habis semua ‘suis’ ditutupkan ibarat sudah penghujung hidup.

"...kita ada pelbagai lagi tahap, teruskan belajar mencari ilmu dalam hidup ini, lakukan sesuatu untuk menyumbang kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis Jasamu Dikenang Tahun 2018 di sini, pada Isnin.

Menurutnya ilmu agama antara contoh yang boleh dipratikkan dalam kehidupan seharian kerana ia membantu mengekalkan tahap kesihatan badan pada tahap terbaik.

"Dalam Islam juga kita disuruh belajar, tuntutlah ilmu dari buaian sehingga ke liang lahad. Jadi, carilah ilmu agama serta ilmu lain untuk dijadikan sebagai dorongan kita," katanya.

Pada majlis itu, seramai 243 pesara masing-masing menerima insentif berjumlah RM3,000 daripada kerajaan negeri sebagai tanda menghargai jasa dan sumbangan mereka ketika berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Mereka terdiri daripada 152 pesara Jabatan Negeri, 101 pesara Pihak Berkuasa Tempatan dan 34 pesara dari badan berkanun.

— BERNAMA