PUTRAJAYA: Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pada Jumaat menerima kunjungan Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa Gambia Dr Mamadou Tangara.

Zambry dalam satu kenyataan berkata mereka mengesahkan komitmen untuk mengukuhkan kerjasama bilateral Malaysia-Gambia termasuk kerjasama pelbagai hala, khususnya melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

"Ketika pertemuan itu, kami bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama," menurut kenyataan itu.

Zambry berkata Tangara turut menyentuh mengenai Persidangan Sidang Kemuncak Islam ke-15 yang akan dihoskan oleh Gambia tahun ini dan mengharapkan penyertaan aktif Malaysia pada sidang kemuncak itu.

Selain itu, Zambry turut mengambil peluang untuk mendapatkan sokongan Gambia untuk pencalonan Dr Ahmad El-Muhammady Muhammad Uthman El-Muhammady bagi jawatan Penolong Setiausaha Agung OIC dalam pemilihan yang akan berlangsung pada Mesyuarat Menteri-menteri Luar Majlis OIC kali ke-49 yang akan diadakan di Nouakchott, Mauritania pada 16 hingga 17 Mac.

-- BERNAMA