KEPALA BATAS: Sebanyak 12 resolusi yang dicadangkan oleh Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) bagi menambah baik kualiti sistem pengajaran di sekolah akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dipertimbangkan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata kandungan resolusi yang merupakan keperluan terkini termasuk memulihkan prasarana sekolah, sememangnya perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.

"Saya sebagai wakil kerajaan mendapat maklum balas daripada pihak MPSM dan saya akan menyerahkan resolusi yang telah mereka serahkan tersebut, yang merupakan harapan mereka untuk menambah baik kualiti pengajaran termasuk beberapa skim perkhidmatan yang boleh dilihat semula.

"Pihak kerajaan akan melihat keperluan-keperluan yang mereka nyatakan dan kita akan mengadakan proses timbal balik dengan para pengetua," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan ke-62 di sini hari ini.

Antara kandungan resolusi itu termasuk membaik pulih kuarters guru di Sabah dan Sarawak; mengatasi segera kekosongan Anggota Khidmat Pengurusan dan mewujudkan lapisan gred baharu untuk pengetua bagi membolehkan penolong kanan menjadi pelapis.

Zambry turut yakin Anwar yang juga Menteri Kewangan akan memberikan keutamaan kepada semua perkara yang dinyatakan dalam resolusi berkenaan.

"Jika kita lihat apabila beliau (Anwar) menjadi Perdana Menteri, beliau memang memberikan perhatian kepada perkara-perkara asas yang mungkin dilihat kecil oleh sesetengah pihak seperti keadaan tandas di sesebuah sekolah dan ini sudah tentunya akan berlanjutan kepada hal-hal yang lain yang berkaitan dengan sekolah," katanya.

Bertema 'Pendidikan Manusiawi Memacu Pendidikan Negara MADANI', Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan kali ini dihadiri 674 pengetua dari seluruh negara.

Persidangan empat hari dari 7 hingga 10 Okt itu dianjurkan oleh MPSM Cawangan Pulau Pinang

-- BERNAMA