JAKARTA: Menteri Luar Negeri Datuk Seri Zambry Abd Kadir akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN ke-56 (AMM ke-56) dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan, dari Selasa hingga Jumaat ini (11-14 Julai) di Jakarta, Indonesia.

Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN Nur Izzah Wong Mee Choo berkata Zambry akan menyertai Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN +1 (PMC+1) bersama setiap satu daripada 11 negara rakan dialog ASEAN.

Rakan-rakan dialog ASEAN yang terlibat itu adalah Amerika Syarikat, Australia, China, India, Jepun, Kanada, Kesatuan Eropah, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan United Kingdom.

Aturcara lain adalah Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN Campur Tiga ke-24 (APT FMM ke-24); Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri Sidang Kemuncak Asia Timur ke-13; dan Mesyuarat Suruhanjaya Kawasan Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dan mesyuarat bersama wakil-wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) dan Forum Serantau ASEAN ke-30 (ARF ke-30).

"Perkara yang akan dibincangkan adalah kemajuan pembangunan komuniti ASEAN, keutamaan dan hasil utama ASEAN di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Indonesia, pelaksanaan kerjasama di bawah dasar Pandangan ASEAN tentang Indo-Pasifik (AOIP), dan isu-isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama.

"Mereka juga akan membincangkan persiapan untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan Mesyuarat-Mesyuarat yang Berkaitan yang dijadualkan berlangsung pada bulan September 2023 di Indonesia," katanya dalam taklimat media hari ini.

Menurut Nur Izzah, AMM ke-56 merupakan platform baik bagi Malaysia berkongsi dan bertukar-tukar pandangan bersama negara-negara ASEAN mengenai isu-isu berkepentingan bersama, termasuklah usaha-usaha pemulihan ekonomi, rantaian bekalan global, keterjaminan makanan, perubahan iklim dan peralihan tenaga.

Penyertaan Malaysia mencerminkan komitmen negara dalam mengekalkan keamanan, kestabilan, dan kemakmuran di rantau Asia Tenggara terutamanya apabila rantau itu menghadapi ketidaktentuan dalam aspek keselamatan dan sosio-ekonomi.

"Pada akhir Mesyuarat ini, para Menteri Luar Negeri ASEAN dijangka memperakukan beberapa dokumen, termasuk Kenyataan Bersama AMM ke-56 yang akan memperincikan hasil perbincangan serta keputusan strategik yang dicapai semasa mesyuarat-mesyuarat itu," katanya.

Sementara itu, Nur Izzah berkata sebagai negara penyelaras untuk hubungan dialog ASEAN-Kanada bagi tempoh 2021-2024, Malaysia dan Kanada akan mempengerusikan secara bersama Mesyuarat PMC+1 pada Khamis (13 Julai).

Zambry turut dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa rakan sejawatnya dari negara-negara yang hadir di AMM ke-56 untuk mengukuhkan hubungan dua hala, dan dalam membina persefahaman bersama di kalangan pemimpin dunia mengenai isu serantau dan global berkepentingan bersama.

Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan warganegara Malaysia yang berkhidmat di Sekretariat ASEAN dan organisasi berkaitan, katanya.

-- BERNAMA