Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf tiba bagi prosiding kes berhubung permohonan representasi untuk menarik balik atau membatalkan pertuduhan terhadap mereka.
Bagaimanapun kelibat peguam, Fahmi Abd Moin yang mewakili mereka sebelum ini, tidak kelihatan bersama mereka.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan 6 Disember untuk perkembangan representasi tersebut, selepas pembelaan memberitahu akan menghantar representasi untuk menyemak kes terbabit dalam tempoh terdekat.
Pada 13 Jun lalu, pasangan suami isteri yang berusia 29 tahun itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya pada jam 9.55 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Sinar Harian