PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menetapkan 18 September ini sebagai tarikh baharu sebutan semula kes terhadap ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin yang didakwa mengabaikan kana-kanak austisme iru, Disember lalu.

Hakim Syahliza Warnoh menetapkan tarikh itu bagi serahan laporan bedah siasat dan rakaman litar kamera tertutup (CCTV).

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya masih lagi menunggu kedua-dua laporan itu.

"Pendakwaan masih belum menerima kedua-dua laporan itu, jadi saya mohon satu tarikh baharu untuk serahan dokumen," katanya di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, kedua-dua tertuduh diwakili peguam Fahmi Moin.

Pada 28 Jun lalu, ibu dan bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak itu.

Zaim Ikhwan dan Ismanira, masing-masing berusia 29 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan, 6, mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Pada 6 Disember tahun lalu, mayat anak kandung mereka itu ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.