Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan, beliau tidak sepatutnya terpalit dalam konflik itu kerana pemansuhan dibuat ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.
“Saya melihat ramai ahli Yang Berhormat (YB) masih berminat isu berbangkit ini. Ramai bertanya, menggesa ia mesti dikembalikan dan melihat bagaimana kesannya kepada anak kita khususnya selepas pemansuhan UPSR dan PT3.
“Saya ingin beri penegasan, yang hapuskan peperiksaan bukan saya tetapi YB Putrajaya (Radzi Jidin). Dia yang mansuhkan, dia patut terangkan kepada rakan-rakan dia, kenapa pula rakan-rakan dia kena tanya saya. Saya ambil pendekatan apa yang ada dalam sistem sekarang ini khususnya pentaksiran. Ini harus diberikan kekuatan, penegasan dan juga usaha memperkukuh guru-guru kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan (KPM) di Dewan Rakyat pada Selasa.
Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya kemudian berdiri dan mencelah untuk memberikan pencerahan berhubung isu berkenaan.
Beliau menyifatkan keputusan pemansuhan UPSR dan PT3 bukan atas arahannya sebaliknya ia dibuat secara kolektif dengan persetujuan KPM.
"Berlaku adillah kepada saya, yang menghapuskan peperiksaan adalah KPM. Ia adalah collective responsibility (tanggungjawab bersama)," ujar Radzi.
Pencelahan itu tidak berlarutan selepas Fadhlina beralih untuk menerangkan beberapa isu lain yang dibangkitkan.
Fadhlina menyimpulkan keputusan KPM buat masa ini jelas iaitu meneruskan dasar pendidikan semasa dengan memberi tumpuan kepada Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dalam membangunkan pendidikan secara holistik.