Kerajaan disaran mewujudkan agensi khas yang berperanan sebagai pemudah cara untuk pencari kerja dan pangkalan data kekosongan jawatan, bagi menangani isu pengangguran ketika tempoh krisis susulan penularan wabak COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Portal Pencarian Kerja MauKerja.My Ray Teng berkata, agensi itu boleh dibangunkan dengan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta, seiring Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek yang akan diumumkan kerajaan.

"Inisiatif kerjasama ini memang bagus. Sebab, jika kerajaan dan sektor swasta boleh bekerjasama dengan lebih erat mewujudkan agensi ini, ia boleh membawa impak yang besar bagi rakyat.

"Contoh, terdapat banyak kerja kosong yang diiklankan dan dalam keadaan 'bersepah'. Portal MauKerja mungkin ada 5,000 pekerjaan, manakala portal kerajaan mungkin ada 3,000 pekerjaan.

"Kalau kita boleh gabungkan data ini dan gunakan teknologi untuk padankan semua kerja kosong ini, bagi pencari kerja, ia akan menyenangkan mereka. Sebab, sekarang bukan senang nak cari kerja," katanya ketika ditemu bual dalam Program Buletin Awani Khas, hari ini.

Mengulas lanjut, Ray berkata, kesukaran untuk mencari pekerjaan dalam bidang kemahiran yang dimiliki menyebabkan pekerja terpaksa menceburi bidang yang tidak sesuai dengan kelayakannya.

"Pekerja kadang-kala mencari kerja yang salah sebab sukar mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran.

"Kalau boleh disatukan data dan diwujudkan platform yang mengesyorkan kepada pekerja, daripada pekerja cari kerja yang salah, akan memudahkan banyak urusan," jelasnya.



Dalam pada itu, Ray juga menyatakan Portal MauKerja kini menerima banyak peluang kerja yang menawarkan opsyen bekerja dari rumah yang semakin diterima dan menjadi kebiasaan antara majikan dan pekerja.

Katanya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan memaksa majikan dan pekerja mengadaptasi normal baharu itu yang kini menjadi satu trend.

"Dalam platform MauKerja sendiri, banyak jawatan kosong yang masuk adalah kerja sambilan, kotrak atau sementara, yang membenarkan pekerja bekerja dari rumah.

"Kita nampak, sektor pekerjaan akan menjadi hybrid. Kalau dahulu, bekerja di pejabat selama lima hari seminggu, tetapi kini, daripada lima hari itu, ditawarkan bekerja dua hari di rumah," ujarnya.

Bagaimanapun, Ray menjelaskan, kebanyakan kekosongan jawatan atau peluang pekerjaan adalah dalam sektor gig ekonomi.

Beliau turut menyarankan agar pencari kerja bekerja secara sementara sambil menunggu ekonomi pulih dan mendapat kerja sepenuh masa.