Kementerian Luar Negeri akan terus memantau perkembangan terkini setelah siri letupan bom berlaku tidak jauh dari garisan penamat di acara larian Boston Marathon berdekatan Copley Square.

Kejadian menyebabkan tiga kematian, 134 orang cedera, 17 dalam keadaan kritikal dan 25 dalam keadaan kecederaan serius.

Wisma Putra mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terlibat di dalam kejadian pengeboman tersebut.

Laporan awal menunjukkan bahawa pengeboman telah menggunakan peralatan kecil dan tiada tanda-tanda bahan letupan bergred tinggi digunakan. Polis tempatan pada mulanya melaporkan terdapat letupan ketiga berlaku di Perpustakaan John F. Kennedy di Boston, tetapi kemudian menyatakan bahawa ia berkaitan dengan kejadian kebakaran.

Jika orang ramai mempunyai sebarang pertanyaan, pejabat Konsulat Jeneral Malaysia, New York boleh dihubungi menerusi nombor-nombor berikut: +1-212 490 2722 dan +19179696700.