Golongan berisiko tinggi iaitu warga emas dan pesakit kronik boleh ke masjid dengan garis panduan yang ketat perlu dilaksanakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata walaupun mereka dibenarkan menjalani kehidupan secara normal, namun mereka masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengelak daripada dijangkiti COVID-19.

“Jadi kalau kita lihat memang ada risiko, tetapi sekarang ini risiko kita lihat sangat rendah.

“Jadi bila risiko rendah, kita membenarkan balik seperti kehidupan biasa dengan SOP sedia ada kalau mereka hendak ke masjid sebagainya.

“Namun mereka tetap kena patuh SOP sedia ada, kerap cuci tangan dan juga memakai pelitup muka dan hidung.

“Persoalan sama ada penularan COVID-19 masih ada dalam masyarakat? Memang ada, tetapi masih terkawal,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan keputusan Perlis yang membenarkan warga emas dan pesakit kronik ke masjid.