BENTONG: Seorang wanita maut apabila kereta yang dinaikinya melanggar bahagian belakang treler yang diparkir di bahu jalan di laluan Central Spine Road (CSR), di sini, semalam.

Nahas kira-kira jam 10.35 pagi itu turut menyebabkan seorang lelaki yang juga pemandu kereta jenis Proton Saga itu mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, hasil siasatan awal polis mendapati treler yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun mengalami kerosakan dan diletakkan di tepi jalan di tempat kejadian.

"Kira-kira 45 minit selepas memarkir kenderaan yang rosak berkenaan, tiba-tiba pemandu treler terdengar dentuman kuat di bahagian belakang lori.

"Pemandu berkenaan mendapati sebuah kereta dari arah Raub menghala ke Bentong telah melanggar bahagian belakang sebelah kanan treler terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut, penumpang kereta yang juga wanita berusia 76 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jelas Zaiham, pemandu kereta yang berusia 72 tahun yang turut mengalami kecederaan parah telah dibawa ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut. 

Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit akibat kemalangan di laluan Central Spine Road, Bentong, semalam. - Foto IPD Bentong

"Kes kemalangan ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kita berharap pemandu kenderaan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan memohon mana-mana pihak yang melhat kejadian ini supaya tampil menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk membantu siasatan," ujarnya.

Sementara itu, Sinar Harian memetik Zaiham mengatakan, mangsa dan rakannya iaitu pemandu kereta tersebut dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur setelah membeli durian di Raub.

"Pemandu kereta terbabit yang merupakan rakan niaga mangsa turut mengalami kecederaan parah dan masih dirawat di hospital," tambahnya.