Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Alor Setar, atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang remaja lelaki menggunakan bahan lecur (disyaki asid), bulan lalu.

Tertuduh, Ahmad Taib, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rusita Md Lazim.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Khairul Izzat Mohd Zaki, 22, dengan bertindak menyimbah bahan lecur ke arah mangsa hingga menyebabkan kecederaan di bahagain leher, badan dan tangan yang boleh mendatangkan kecederaan parah serta kekal.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 5.15 petang di hadapan rumah tidak bernombor di Kampung Baru, Kuala Kedah, 25 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, manakala 13 September ini ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ayu Rohaiza Khazali sementara tertuduh diwakili peguam, Lim Wei Yong.

Pada 25 Julai lalu, mangsa Khairul Izzat Mohamed Zaki, 22, melecur 30 peratus pada muka, leher, kedua-dua tangan serta perut, manakala rakannya Mohd Sufri Zulkifli, 19, cedera di leher selepas disimbah cecair dipercayai asid oleh tertuduh yang juga penyewa rumah mangsa kerana didakwa tidak menjelaskan sewa rumah selama enam bulan.