KUALA LUMPUR: Empat Mahkamah Majistret pada Khamis mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas personaliti televisyen dan usahawan selebriti, Norjuma Habib Mohamed yang berdepan lima kes mencederakan tiga individu dan melakukan khianat, tujuh tahun lalu.

Waran tangkap dikeluarkan terhadap Norjuma, 44, setelah dia gagal hadir prosiding sebutan semula tiga pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas tiga individu dan dua pertuduhan melakukan khianat yang dihadapinya di antara tahun 2017 dan 2023.

Majistret, Illi Marisqa Khalizan, Nurul Izzah Shaharuddin, Fatin Dayana Jalil dan Noor Elynna Hanim Abd Halim mengeluarkan perintah itu selepas usahawan tudung itu gagal hadir ke prosiding yang bermula jam 9 pagi tadi.

Sehingga jam 1 tengah hari, Norjuma Habib tidak mengikuti prosiding meskipun kesnya dipanggil beberapa kali, menyebabkan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 26, 29 dan 30 Julai serta 2 Ogos depan.

Dia yang mengenakan pakaian serba hitam sebelum itu dilihat berada di lobi mahkamah pada jam 10.30 pagi.

Bagaimanapun, dia berpatah balik ke tempat letak kenderaan dan tidak memasuki mahkamah sehingga prosiding tamat, lapor Sinar Harian.

Pada 25 April lalu, Norjuma didakwa atas pertuduhan pertama, menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Afiq Ismail, 34, di premis perniagaan di Menara Atlan, Jalan Ampang di sini pada jam 8.43 malam, 21 Februari 2017.

Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa menyebabkan kecederaan dengan menendang betis kaki kiri seorang pengawal keselamatan lelaki warga Nepal, Neupane Tika Ram di pusat tuisyen di Plaza Batai Bukit Damansara di sini pada jam 3 petang, 29 Mac 2018.

Bagi pertuduhan ketiga, dia dituduh menyebabkan kecederaan dengan cara menampar pipi dan mencakar tangan Nur Solehah Rosli, 31, di sebuah kondominium di Wangsa Maju pada jam 10.30 pagi, 18 Oktober 2021.

Tiga pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda mencecah RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi dua lagi kes mengkhianat, Norjuma didakwa merosakkan palang keluar masuk kenderaan dan CCTV milik sebuah kondominium, dengan anggaran kerugian berjumlah RM4,700 di Taman U-Thant di sini, pada jam 7.44 dan 7.45 malam, 28 Julai 2023.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R Harvind, Hamizah Hisan dan Sheryn Yong Shi Yee bersama Pegawai Pendakwa, Inspektor Shazwan Hasifi Shahrun.