Ketua Polis daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, wanita berusia 75 tahun yang dikenali sebagai Misirah Saniman disahkan meninggal dunia semasa tiba di Klinik Kesihatan Batu 22 pada jam 8.20 pagi.
Katanya, polis menerima laporan polis dari jiran mangsa, seorang lelaki berusia 64 tahun, yang menemui mangsa terbaring tidak sedarkan diri akibat serangan kawanan haiwan itu.
"Hasil pemeriksaan terhadap tubuh badan mangsa dan persekitaran tiada unsur jenayah atau khianat.
"Siasatan di lokasi kejadian juga mendapati terdapat kesan tapak kaki gajah liar dan menjumpai cermin mata dan alat menoreh getah milik mangsa.
"Pengadu memaklumkan telah diberitahu oleh orang yang melalui jalan berhampiran tempat kejadian, melihat sekumpulan gajah liar sedang beredar dari kawasan tempat mangsa sedang menoreh getah dan kejadian berlaku lebih kurang jam 7 pagi (keadaan cuaca terang)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Bahrin, mayat mangsa dibawa ke Forensik Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom Kluang untuk siasatan lanjut.
Kataya, hasil bedah siasat yang dibuat oleh Pegawai Perubatan KKM mendapati punca kematian adalah akibat beberapa kecederaan.
"(Kecederaan) termasuk patah tulang rusuk kiri dan kanan berserta pendarahan dalam dada dan koyakan pada jantung, patah tulang belakang, dan pendarahan dalam perut akibat koyakan pada hati," katanya.
Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).