Gara-gara cemburu madunya diberikan telefon bimbit jenis "Iphone" oleh suami mereka, seorang wanita dengan bantuan abangnya menyerang madunya itu di Kampung Kepala Gajah di Besut malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata kejadian berlaku kira-kira 7 malam itu apabila wanita berusia 35 tahun didatangi madu dan abangnya yang mengacukan pistol ke dahinya sebelum memukul muka, kepala dan badannya.

"Ketika berlaku pergelutan, suspek wanita yang merupakan madu mangsa bertindak merampas beg tangan mangsa yang mengandungi tiga buah telefon bimbit, kad ATM dan wang tunai sebanyak RM250," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Manohan berkata kejadian yang berlaku di kedai dobi milik mangsa itu dipercayai berpunca apabila suspek yang berusia 21 tahun tidak berpuas hati setelah suami memberikan "Iphone" kepada madunya.

Katanya polis telah menahan suspek wanita itu apabila dia membuat laporan polis berhubung suaminya pada kira-kira 12.05 pagi di Balai Polis Kampung Raja di Besut manakala polis sedang memburu abang suspek yang telah melarikan diri.

Katanya polis menemui sepucuk pistol mainan pada wanita itu dan beberapa dokumen dan telefon bimbit mangsa dam menurutnya suspek kini direman untuk siasatan.