TELUK INTAN:Tidak sampai dua bulan, seorang wanita yang baru sahaja bersalin 40 hari lepas, sekali lagi terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS), ekoran rumahnya di Kampung Batu 8, Changkat Jong, di sini dinaiki air, malam tadi.

Pada 24 Nov lepas, Alessa Fariza Ahmad Sofian, 31, dipindahkan ke PPS sama, sehari sebelum dia melahirkan anak keduanya itu.

"Sebelum bersalin 25 Nov, saya dipindahkan ke PPS kerana banjir dan sempat berada di PPS sehari sebelum dihantar ke hospital. Kini ketika sedang pantang pun banjir lagi.

"Tidak sangka terpaksa ke sini (PPS) semula, sememangnya agak sukar kerana ada bayi," katanya ketika ditemui Bernama di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan di sini hari ini.

Alessa Fariza berkata beliau bersama suami berumur 32 tahun, seorang lagi anak lelaki berusia empat tahun dan ibunya, 51 tahun terpaksa berpindah ke PPS ekoran air naik dengan sangat cepat sehingga paras pinggang.

Selain Alessa Fariza, turut dipindahkan ke PPS itu ialah seorang warga emas, Rohani Ahmad, 70, yang kudung kaki kanan akibat kencing manis dua tahun lepas dan tinggal berseorangan di rumahnya di Kampung Batu 7, Changkat Jong.

Rohani meluahkan rasa syukur diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta orang kampung yang membawanya ke PPS.

"Mujur ada budak-budak kampung yang tolong makcik angkat barangan elektrik dan perabot untuk diselamatkan, sebab makcik tinggal seorang diri kerana tiga orang anak semua tinggal berjauhan," katanya yang berkerusi roda.

Setakat 5 petang ini, daerah Hilir Perak merekodkan 442 mangsa banjir yang ditempatkan di lima PPS, selepas 12 kampung antaranya Kampung Tanjung Keramat, Kampung SC Ayer Hitam, Kampung Tengah Ayer Hitam, Kampung Sungai Ramai, Kampung Belakang Kedai Degong dan Kampung Chikus Langkap dilanda banjir.

-- BERNAMA