Peniaga, Zainatul Rafeda Zainul Abidin, 43 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.
Mahkamah menetapkan tarikh 14 Januari depan untuk menjatuhkan hukuman sementara menunggu fakta kes.
Mengikut kertas pertuduhan, ibu empat anak itu didakwa melakukan khianat dengan api, dengan pengetahuan akan menyebabkan kerosakan sebuah motosikal jenis Honda RSX, milik seorang wanita lain berumur 22 tahun, yang bernilai RM7,000.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di Jalan Masjid, Pokok Assam, Taiping kira-kira jam 3.50 petang, 26 Disember lalu.
Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksima 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh 14 Januari.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ng Wei Jun.
Terdahulu, tertuduh kelihatan sebak semasa dibawa ke mahkamah dan ketika membuat pengakuan dalam kandang tertuduh.
Baru-baru ini, media melaporkan polis menahan seorang wanita selepas membakar sebuah motosikal yang hendak ditarik kerana gagal menjelaskan bayaran tertunggak dalam rakaman video yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Nasir Ismail berkata, wanita itu ditahan selepas polis menerima laporan kes tersebut daripada seorang lelaki.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, motif kejadian didapati berpunca daripada rasa tidak puas hati kerana motosikal itu hendak ditarik akibat tertunggak bayaran selama 20 bulan.