KUALA LUMPUR: Kerajaan menggesa ahli akademik, institusi kewangan dan badan kawal selia untuk bekerjasama dalam merealisasikan visi masa depan dan ekonomi manusiawi yang mampan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata kerjasama ini perlu disertai dengan komitmen 'ummah' dan usaha bersama untuk membantu merealisasikan visi ini demi masa depan yang lebih baik.

"Ahli akademik perlu terus menerajui bidang ilmu, menyelaraskan dimensi teori dan etika ekonomi Islam serta membangunkan pelaksanaan yang praktikal sejajar dengan prinsip teras MADANI.

"Sementara itu, institusi kewangan perlu menyepadukan prinsip ini dalam struktur teras dan proses membuat keputusan serta memastikan produk mereka baik dan boleh diakses," kata beliau dalam ucapan pada Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam di sini hari ini.

Anwar berkata badan kawal selia perlu mewujudkan kerangka untuk inovasi yang menggalakkan dan mengukuhkan tata laku beretika dan bukan pematuhan undang-undang semata-mata.

Pada masa yang sama, beliau berkata kerajaan berhasrat untuk menggalakkan kaedah baharu pembangunan peradaban berteraskan prinsip ekonomi MADANI.

Anwar berkata konsep MADANI yang diperkenalkan oleh kerajaan menggariskan rangka kerja ekonomi berdasarkan enam prinsip, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

"Berpandukan prinsip ini, kami berhasrat untuk menggalakkan kaedah baharu pembangunan peradaban. Antara yang melangkaui data dan statistik ekonomi semata-mata yang tidak bersesuaian dengan orang biasa.

"Sebaliknya, ia adalah pendekatan pembangunan baharu yang memberi manfaat kepada masyarakat pada masa ini dan masa depan," katanya, sambil menambah ekonomi masa depan akan menyalurkan pelaburan kepada perniagaan yang mampan, memberi keutamaan kepada perlindungan alam sekitar, pengurusan sumber yang bertanggungjawab dan tenaga boleh baharu.

Beliau menekankan bahawa ekonomi masa depan akan berteraskan rakyat, yang menyumbang kepada membangunkan masyarakat penyayang yang boleh menyokong jaringan keselamatan sosial yang komprehensif, melabur dalam pembangunan komuniti serta menghapuskan kemiskinan dan ketaksamaan.

"Saya mahu anda membayangkan ekonomi masa depan apabila masyarakat yang inovatif membangunkan bukan sahaja produk dan teknologi baharu, tetapi juga idea, penyelesaian dan perspektif yang mencabar status quo dan memberi inspirasi kepada kemajuan," kata beliau.

-- BERNAMA