JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) melaporkan dua kes Omicron membabitkan pasangan suami isteri yang baru pulang dari Arab Saudi selepas mengerjakan ibadah umrah pada 25 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, R. Vidyananthan berkata, pasangan berkenaan telah pergi menunaikan umrah pada 4 Disember lalu dan pulang ke Malaysia melalui klia pada 16 Disember lepas.

Katanya ujian saringan PCR di Pintu Masuk Antarabangsa yang dijalankan pada 16 Disember telah mengesan keduanya positif pada 18 Disember lalu.

"Sampel PCR tersebut kemudiannya telah dihantar ke Institue Of Medical Research (IMR) bagi menjalani proses jujukan genom dan keputusan kemudiannya didapati positif Omicron.

"Kini kedua-duanya sedang menjalani isolasi di rumah di Johor Bahru.

"Kesemua kontak rapat kepada kedua-dua kes juga telah dikenalpasti dan telah diberikan arahan pengasingan dan pemerhatian di rumah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Vidyananthan, susulan perkembangan terbaharu ini, JKNJ mengingatkan agar semua rakyat Johor yang pulang dari luar negara khususnya dari umrah, untuk mematuhi arahan kuarantin wajib yang diberikan.

Katanya mereka perlu terus kekal berada di dalam bilik berasingan dan tidak bertemu dengan ahli rumah atau individu yang lain.

"Kegagalan mematuhi arahan ini akan menyebabkan penularan jangkitan COVID-19 termasuk varian Omicron dalam kalangan ahli keluarga dan komuniti.

"Kami juga mahu mengingatkan di dalam kemeriahan menyambut sambutan Krismas dan Perayaan Tahun Baharu, dinasihatkan untuk melakukan ujian pengesanan COVID-19 kendiri menggunakan RTK Ag sebelum aktiviti berkumpul atau berkunjung bagi menziarahi sanak saudara, jiran tetangga mahupun rakan.

"Sekiranya bergejala, dapatkan rawatan segera, jalani ujian pengesanan COVID-19 dengan segera dan kekal berada di rumah sehingga tiada gejala," katanya.