PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang dilarang mengembara ke Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Namibia, Mozambique, serta Zimbabwe, berkuat kuasa 27 November ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, ia antara langkah berjaga-jaga kerajaan ekoran varian baharu COVID-19 (B.1.1.529) yang melanda beberapa negara di benua Afrika, termasuk satu kes yang menular ke Hong Kong.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, berdasarkan laporan, varian itu mempunyai 32 mutasi spike protein, iaitu dua (2) kali ganda lebih banyak daripada varian delta, namun belum ada maklumat lanjut bagi tempoh inkubasi, gejala dan kebolehjangkitan bagi varian berkenaan.

“KKM memandang serius dengan kewujudan varian baharu ini dan akan mempertingkatkan survelan genomik termasuk ke atas individu yang tiba dari negara yang melaporkan varian baharu ini.

“Pemantauan berterusan bagi survelan genomik dijalankan oleh konsortium yang terdiri daripada Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Institut Penyelidikan Perubatan 2 (IMR), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” katanya lagi.

Sehingga hari ini (26 November), Khairy berkata, survelan genomik yang dijalankan, tiada virus COVID-19 varian baharu B.1.1.529 yang dilaporkan di Malaysia.

Selain larangan bagi rakyat Malaysia, beliau berkata, kerajaan turut memutuskan sekatan sementara kepada semua warganegara asing yang mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari ke negara-negara tersebut.

Manakala bagi rakyat Malaysia dan pemegang pas penduduk tetap yang pulang ke Malaysia dari negara-negara tersebut, Khairy berkata, mereka dibenarkan memasuki negara ini.

“Namun (mereka) dikehendaki menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi, serta tidak dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.

“Selain itu sampel akan diambil dari individu yang tiba dari negaranegara tersebut untuk survelan genomic,” katanya lagi.