KUALA LUMPUR : Vape dicadang agar turut dimasukkan ke dalam pelaksanaan Generasi Penamat yang dicadangkan Kementerian Kesihatan Malaysia selain rokok.

Timbalan Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Norashidah Mohamed Nor menjelaskan, ia susulan bukti-bukti yang menunjukkan kesan negatif vape kepada kesihatan yang pada masa sama memberi risiko kerugian kepada negara. 
 
"Pada pendapat saya (vape) perlu dimasukkan sekali dalam Generasi Penamat. Sekarang belum ada regulation lagi untuk vape. Kerajaan nak mengenakan cukai untuk bukan nikotin pun belum dilaksanakan lagi.

"Pada saya, kalau kita kategorikan tidak boleh merokok, jadi kita boleh masukkan dalam Generasi Penamat. Kalau nak ikutkan, statistik sudah dibuat, trend hisap vape juga meningkat. Namun, kita masih lagi tidak dapat jawapan di situ. 

"Jadi mungkin ini sebab political will, namun kita ada banyak bukti-bukti (untuk masukkan vape). Kita kena lihat kesan (kerugian) berbilion ditanggung kerajaan (kerana vape)," katanya semasa menjadi salah seorang panelis Dialog Tiga Penjuru bertajuk "Generasi Penamat Rokok" pada Khamis.

Sebelum ini, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia mencadangkan pelaksanaan Generasi Penamat atau dikenali sebagai Generational End Game berkaitan dengan larangan sebarang bentuk penjualan, pembelian dan pemilikan produk tembakau dan produk pengganti tembakau termasuk rokok elektronik dan vape bagi mereka yang lahir pada 1 Januari 2005 dan seterusnya.

Peruntukan yang diperkenalkan ini akan dibentangkan di sidang Dewan Rakyat dalam masa terdekat bagi menggantikan peruntukan di bawah undang-undang sedia ada iaitu di bawah Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 iaitu Larangan Mengenai Merokok dan sebagainya.

 

Selain itu katanya, Malaysia juga perlu mengukuhkan penguatkuasaan terhadap penjualan rokok-rokok yang tidak sah jika mahu melihat kejayaan pelaksanaan Generasi Penamat.  

Dalam masa sama, beliau menjelaskan, tanggungjawab berkenaan bukan sahaja terletak di bahu Jabatan Kastam, tetapi menuntut kerjasama semua pihak berkenaan.

"Mereka selalu menyatakan disebabkan harga rokok yang mahal, sebab itu ada rokok tidak sah. Kami membuat pembuktian, dan kita kena mengukuhkan penguatkuasaan kita dengan bukan sahaja kita serah kepada pihak Kastam, tetapi kita semua sebagai satu masyarakat di Malaysia.

"Kadang itu, kita tahu jual rokok tidak sah. Jadi, sila laporkan. Kita perlu duduk dan bincang bersama. Sepatutnya sudah lama kita buat tetapi tidak mengapa, kita boleh mula sekarang," ujar beliau.