KUALA LUMPUR : Jumlah suntikan harian vaksin COVID-19 yang direkodkan pada 3 Julai adalah 217,807 dos.

Angka itu menunjukkan sedikit penurunan berbanding hari sebelumnya iaitu 236,196 dos.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Baksin COVID-19 (JKJAV) menerusi perkongsian di Twitter memaklumkan, daripada jumlah itu, 141,140  adalah penerima dos pertama.

Manakala 76,667 adalah penerima dos kedua.

Ini menjadikan jumlah kumulatif di negara ini adalah 8.80  juta sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bermula 24 Februari lalu.

Lebih 6.26  juta dos atau 19.2 peratus bagi suntikan pertama manakala 2.53 juta dos atau 7.8 peratus untuk suntikan kedua telah diberikan.


Perkembangan ini semakin menghampiri nilai ambang 10 peratus untuk peralihan ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara.

Namun, jangkaan sasaran melebihi 300,000 dos suntikan harian bermula Julai masih belum terlaksana.

Dalam pada itu, data yang dikongsikan turut menunjukkan penduduk Kuala Lumpur kekal mencatat kadar penerima dos pertama yang tertinggi dengan 1.12 juta individu atau 63.4 peratus daripada populasinya.



Ia disusuli Sarawak (1.17/41.8 peratus), Putrajaya (42,727/38.8 peratus), Labuan (36,065/36.2 peratus), Perlis (68,965/27.1 peratus), Pulau Pinang (321,838/18.1peratus) dan Negeri Sembilan (200,396/17.8 peratus).