KUALA LUMPUR : Lebih 50 peratus jumlah populasi dalam negara sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

Sementara itu, 40.7 peratus atau lebih 9.51 juta individu daripada jumlah populasi dewasa dalam negara sudah melengkapkan vaksin mereka setakat semalam.

Berdasarkan data yang dikongsikan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), 16.34 juta individu atau 69.8 peratus populasi dewasa pula sudah menerima satu dos suntikan. 

Ia selepas tambahan sejumlah 497,352 dos yang diberikan semalam. 



Daripada jumlah itu, 269,846 diberikan sebagai dos kedua manakala 227,506 dos pertama.

Selangor mencatatkan pemberian dos kedua harian tertinggi dengan lebih 84,912, diikuti Kuala Lumpur (44,613), Johor (32,405),  Sabah (19,914), Sarawak (16,340) dan Pulau Pinang (12,942).



Dengan penambahan jumlah vaksin harian tersebut, ia menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin dalam negara adalah lebih 25.86 juta.

Ia sekali gus menyaksikan 50.1 peratus atau 16.34 juta individu jumlah populasi rakyat Malaysia menerima sekurang-kurangnya satu dos dan 29.1 peratus atau 9.51 juta individu populasi melengkapkan vaksinasi mereka.