Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan UTMSPACE dan Dekan SPACE Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Nazri Ali berkata tawaran tersebut akan turut dilanjutkan hingga ke Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 7 dan Tahap 8.
“Kita telah rancang untuk wujudkan sebuah Pusat TVET Termaju di SPACE. Ia telah diluluskan di peringkat UTM, seterusnya akan dikembangkan sehingga peringkat latihan lebih tinggi.
“Kita bukan beri latihan hingga Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 4 sahaja, bahkan kita akan bawa hingga Tahap 7 dan Tahap 8 iaitu peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang kemahiran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
UTMSPACE akan tawar program TVET Termaju - CEO UTMSPACE
Menurut Nazri, bidang keutamaan yang akan diberikan tumpuan dalam latihan yang ditawarkan melibatkan robotik, kenderaan elektrik (EV), dron dan Kecerdasan Buatan (AI).
Tambahnya, strategi pendekatan UTMSPACE adalah dengan mendekati organisasi yang ada kumpulan pekerja yang memerlukan kepada latihan serta pendidikan lanjut.
Ia selari dengan motto pembelajaran sepanjang hayat yang dipegang oleh institusi berkenaan.
“Saya fikir semua orang dalam bidang kemahiran ingin diberikan peluang untuk lanjutkan pelajaran. Konsep kita ialah pembelajaran sepanjang hayat,” ujarnya.
UTMSPACE, menurut Nazri lagi, menyahut pengumuman Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2024 yang diumumkan oleh Menterinya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir pada 12 Januari lalu.
KPT akan memberi penekanan kepada lima fokus utama meliputi 20 landasan hala tuju yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini, ke arah peningkatan prestasi kecemerlangan pendidikan tinggi.
Lima fokus utama itu adalah penyediaan bakat terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi, pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi, serta pemantapan ekosistem pemboleh daya.
Agenda AWANI: SPACE UTM | Meneraju hab pembelajaran sepanjang hayat serantau