MELAKA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mencapai kedudukan ke-106 terbaik di dunia daripada keseluruhan 1,183 institusi pengajian tinggi lain dalam penarafan UI GreenMetric (UIGM) World University Rankings 2023 yang diumumkan, baru- baru ini.

Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata penarafan berkenaan mengiktiraf universiti terlibat sebagai institusi yang melaksana dasar dan program mesra alam serta kampus lestari yang mampan.

"Pencapaian ini merupakan kejayaan berprestij dan berganda buat UTeM bukan hanya pada ukuran kedudukan tetapi juga dalam aspek kemampuan UTeM melonjak kedudukan.

"Ini kerana UTeM telah menyertai UIGM pada 2016 dan mencapai kedudukan ke-269 daripada 516 universiti yang dinilai, dan dalam tempoh tujuh tahun, UTeM terus cemerlang mencapai kedudukan ke-106 daripada 1,183 universiti yang dinilai, pada tahun ini," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata pencapaian berkenaan turut melonjakkan kedudukan UTeM pada kedudukan lima terbaik universiti paling lestari dan hijau di Malaysia.

Katanya antara usaha yang dilaksanakan UTeM bagi mencapai kedudukan tersebut ialah melaksanakan beberapa pelan pembangunan program pemuliharaan kehijauan UTeM bagi memberi nilai tambah dalam kriteria tetapan dan infrastruktur.

Massila berkata UTeM turut menggubal beberapa dasar dan peraturan berkaitan pengurusan sisa dan air yang lebih sistematik selain melaksanakan program dan aktiviti yang menyokong kriteria tenaga dan perubahan iklim seperti pemasangan solar di kampus UTeM.

"Kejayaan ini tentunya memberi impak langsung kepada UTeM dalam perspektif keterlihatan UTeM di pentas global bagi pembudayaan amalan hijau.

"Pada masa yang sama menunjukkan betapa tingginya komitmen UTeM dalam melaksana dan menjayakan aktiviti serta program yang sesuai bagi tujuan pemuliharaan alam sekitar secara berterusan," katanya.

-- BERNAMA