JASIN: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) membantu menguruskan proses menghantar pulang jenazah dua pelajarnya yang terkorban dalam nahas jalan raya di Kilometer 187.6 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, pagi tadi.


Ringkasan AI
  • UTeM sedang menguruskan proses penghantaran pulang jenazah dua pelajarnya, Nurul Syafiqah Nasruddin dan Nurhanis Afryna Azizan, yang terkorban dalam nahas jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan.
  • UTeM juga menguruskan pampasan insurans kematian dan sumbangan daripada Tabung Khairat Pelajar UTeM kepada keluarga pelajar yang meninggal dunia.
  • Dua lagi pelajar yang cedera dalam kemalangan itu, Nur Hanis Suraya Supiyan dan Azwalidiya Azman, sedang dirawat di Hospital Melaka.


Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, seluruh warga universiti itu berduka cita atas kemalangan yang mengorbankan kedua-dua pelajar Nurul Syafiqah Nasruddin dan Nurhanis Afryna Azizan, masing-masing berusia 19 tahun.

Katanya, pihak UTeM telah mula bertindak menguruskan urusan berkaitan sejurus selepas mendapat maklumat berita kemalangan berkenaan sejak awal pagi tadi.

“Sehingga petang ini UTeM sedang bertungkus lumus menguruskan kedua-dua jenazah pelajar di Hospital Jasin yang perlu melalui proses post-mortem terlebih dahulu.

“Selepas selesai urusan di Hospital Jasin, pihak UTeM akan menggerakkan proses penghantaran kedua-dua jenazah pelajar ke kampung halaman mereka di Muadzam Shah, Pahang dan Gemencheh, Negeri Sembilan bagi urusan pengebumian di sana,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, katanya, UTeM juga sedang menguruskan pampasan insurans kematian dan sumbangan daripada Tabung Khairat Pelajar UTeM kepada keluarga pelajar yang terkorban.

Menurutnya, dua lagi pelajar iaitu Nur Hanis Suraya Supiyan dan Azwalidiya Azman yang cedera dalam kemalangan itu sedang dirawat di Hospital Melaka.

Terdahulu, dalam kejadian 6.30 pagi itu, kedua-dua mangsa tahun maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala, manakala dua lagi mangsa cedera selepas kenderaan jenis Perodua Myvi dinaiki mereka hilang kawalan.