Usul pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bakal menjadi Rang Undang-Undang pertama yang dibentangkan Kerajaan Pakatan Harapan.

Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 itu tersenarai dalam aturan urusan mesyuarat di Dewan Rakyat pada pagi ini.

Menurut aturan tersebut, ia akan dibacakan buat kali pertama oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Selain itu, empat lagi Rang Undang-Undang turut tersenarai.

Rang Undang-Undang (RUU) tersebut adalah RUU Cukai Jualan 2018, RUU Cukai Perkhidmatan 2018, RUU Kastam (Pindaan) 2018 dan RUU Zon Bebas (Pindaan) 2018.

Sehingga kini, lima RUU ini sahaja yang tersenarai dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat.

Minggu ketiga Mesyuarat pertama, Penggal Pertama Parlimen ke-14 juga menjangkakan pemansuhan atau perubahan kepada Akta Antiberita Tidak Benar.

Selain itu, sesi penggulungan Menteri untuk perbahasan usul menjunjung Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong juga akan bermula hari ini.

Secara prosedurnya, RUU GST perlu dimansuhkan terlebih dahulu seiring manifesto Pakatan Harapan sebelum sebarang RUU baharu percukaian dibentangkan.

Sementara itu, RUU Kastam (Pindaan) 2018 pula berkait prosedur percukaian yang mana Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) bertanggungjawab sepenuhnya terhadap proses percukaian tersebut.

Bacaan kali kedua dan perbahasan kesemua RUU tersebut dijangka bermula pada 7 Ogos depan.