Pendakwah bebas, Datuk Mohammad Kazim Elias yang menghadapi masalah jantung telah dibenarkan keluar Hospital KPJ-ISH Ipoh, tengah hari tadi.

Lebih mesra dengan panggilan Ustaz Kazim, beliau dibawa keluar menggunakan kerusi roda sambil diiringi ahli keluarga dan sanak saudaranya.

Beliau yang menjalani dua prosedur angiogram petang kelmarin kini sedang menjalani proses pemulihan dan semakin stabil.

BACA: Ustaz Kazim stabil selepas jalani rawatan angiogram kedua di KPJ Ipoh

Walau pun masih kelihatan lemah, tahap kesihatan beliau dilaporkan semakin baik dan sudah boleh mula bercakap.

Sementara itu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah turut meluangkan masa melawat Ustaz Kazim.

Ketika ditemui media, Ahmad Husni berkata pihak hospital memaklumkan bahawa pendakwah bebas itu perlu berehat sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga bulan.

Mohd Kazim dimasukkan ke HUSM selepas mengadu penat dan sakit dada ketika sedang berceramah di pekarangan bangunan Pertubuhan Peladang Kawasan Sri Gunong, Bator, Bachok kira-kira 9.30 malam Jumaat minggu lalu.