Lawatan kapal induk itu menyusuli persinggahan hampir sama oleh USS Abraham Lincoln pada November lepas.
Komander Carrier Strike Group (CSG) 1 Laksamana Muda Michael S. Wosje berkata tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 kerjasama komprehensif AS-Malaysia.
Michael berkata kerjasama keselamatan dan ketenteraan sejak sedekad itu mengukuhkan komitmen bersama kedua-dua negara terhadap kemakmuran, keselamatan dan keamanan di rantau ini.
"Selain komitmen bersama tersebut, lawatan ke Malaysia ini juga memberi peluang unik untuk kami bekerjasama dengan rakan sejawat daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
"Lawatan ini membolehkan kami membina hubungan strategik dan bermanfaat bagi kedua-dua negara sambil memberi peluang kepada anak kapal kami berehat yang sememangnya sangat mereka perlukan sekali gus menerokai kekayaan budaya yang terdapat di Kuala Lumpur serta menjalin hubungan dengan masyarakat tempatan," katanya pada sidang media selepas lawatan wakil media ke kapal berkenaan di sini hari ini.
Semasa lawatan itu, wakil media dibawa melihat dok penerbangan yang luas serta kemudahan perubatan yang terdapat di dalam kapal pengangkut pesawat itu.
Michael turut mengucapkan terima kasih atas peluang kerjasama dengan TLDM dan mengulangi komitmennya untuk mengeratkan lagi hubungan menerusi latihan bersama.
Semasa berada di Malaysia, hampir 7,500 anak kapal CSG-1 akan terlibat dalam pertukaran budaya dan acara berkaitan dengan masyarakat, yang sepanjang lawatan itu ditaja oleh Morale, Welfare and Recreation (MWR) bertujuan meningkatkan persefahaman budaya serta kerjasama antara kedua-dua negara.
Carl Vinson CSG-1 terdiri daripada USS Carl Vinson (CVN 70), staf lapangan CSG-1 dan Destroyer Squadron (DESRON) 1, Carrier Air Wing (CVW) 2, kapal peluru berpandu kelas Ticonderoga USS Princeton (CG 59) dan kapal pemusnah peluru berpandu kelas Arleigh Burke USS Sterett (DDG 104) dan USS William P. Lawrence (DDG 110).
Carl Vinson CSG-1 beroperasi di kawasan operasi Armada ke-7 AS serta sering berinteraksi dan beroperasi dengan sekutu serta rakan kerjasama dalam usaha memelihara wilayah Indo-Pasifik yang bebas serta terbuka.
Hubungan diplomatik antara AS dan Malaysia telah terjalin sejak 1957 susulan kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajahan British, dan hubungan dua hala itu diperkukuhkan lagi menerusi Kerjasama Komprehensif pada April 2014.
-- BERNAMA