PADA bulan Mei lalu, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) secara dasarnya telah bersetuju dengan tiga perkara penting, yang dilihat wajar lagi relevan dengan perkembangan landskap sosiopolitik negara. Salah satunya termasuklah cadangan menggubal Rang Undang-Undang Sumbangan Politik. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik mengumumkan keputusan itu dicapai ketika beliau mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu. Namun menurut beliau ia akan dibawa untuk perbincangan di peringkat Kabinet sebelum mengadakan sesi libat urus dengan parti-parti politik.

Turut dipersetujui cadangan memperkenalkan Pelan Tadbir Urus Baik Nasional atau MyGovernance di semua agensi kerajaan termasuk badan berkanun kerajaan. Menurut Perdana Menteri, MyGovernance bertujuan meningkat dan memperkukuhkan keupayaan penyampaian perkhidmatan awam ke arah mencapai visi nasional serta menangani isu-isu kelemahan tadbir urus aspek kerajaan termasuk badan berkanun, berdasarkan empat prinsip tadbir urus baik iaitu ketelusan, akauntabiliti, kecekapan, dan keberkesanan. Pada masa sekarang kita ada Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang diperkenalkan empat tahun yang lalu. Bagi tujuan ini sebuah jawatankuasa akan dibentuk bagi pembangunan dasar itu. Selaras dengan langkah tersebut, pengukuran tahap kualiti tadbir urus sesebuah institusi kerajaan akan dibuat melalui Malaysian Governance Index (MGI).

Selain dua perkara tersebut, Perdana Menteri mengumumkan bahawa Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) yang dibentuk tiga tahun yang lalu akan menjadi agensi berpusat bagi pengurusan harta disita dan dilucut hak. Perdana Menteri juga menekankan bahawa keperluan menjadikan NFCC sebagai sebuah agensi berpusat adalah amat penting dan perlu disegerakan ke arah usaha yang lebih berkesan bagi membanteras jenayah kewangan dan mengekang ketirisan hasil kerajaan. Sebanyak 26 daripada 53 akta berkaitan dengan dasar pengurusan harta yang disita dan dilucut perlu diberi keutamaan untuk dipinda bagi melaksanakan dasar tersebut.

Ketiga-tiga perkara yang diberi penekanan oleh Perdana Menteri itu amat penting dalam memperkukuhkan tadbir urus baik merangkumi kesemua peringkat pentadbiran dan pengurusan. Ini amat signifikan kerana ia secara langsung ada berkaitan dengan imej dan reputasi negara yang terus memperlihatkan komitmen untuk memperkukuhkan usaha memerangi rasuah dan amalan berintegriti.

Memandangkan NACP yang tempoh penggal awal akan berakhir pada tahun depan, amatlah penting untuk mencari jalan bagi memantap dan memperkukuhkan segala usaha, aktiviti dan program yang berkaitan dengan usaha mewujudkan persekitaran tadbir urus yang baik. Pada Februari lalu, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC),  Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan berkata pihaknya sedang mengumpulkan input daripada pelbagai pemegang taruh bagi menilai keberkesanan pelaksanaan NACP. Menurut beliau, langkah itu penting memandangkan pelaksanaan NACP 2019-2023 akan memasuki tahun kelima pada tahun depan, sekali gus memerlukan penilaian tentang keberkesanannya dari pelbagai sudut.

Mengambil kira kepentingan jangka panjang, keputusan JKKMAR itu harus dialu-alukan, dan selari dengan dua perkembangan yang menarik perhatian negara sebelum ini. Pertamanya, mengikut laporan media ketika hanya tinggal setahun lebih lagi sebelum mandat NACP berakhir, setakat ini hanya 37 atau kira-kira 33 peratus daripada 111 inisiatif telah diselesaikan manakala 74 inisiatif lagi masih dikategorikan 'dalam tindakan'. Sesungguhnya prestasi itu memang mengejutkan ramai. Nampaknya ada kekurangan dan kelemahan dalam pelaksanaan. Sebulan sebelum itu, laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan oleh Transparency International Malaysia (TI-M) menunjukkan Malaysia berada di tangga 62. Dapatan itu merupakan satu penurunan dua tahun berturut-turut berbanding sebelum itu.

Jadi sudah tiba masanya kita mengambil satu tindakan pembetulan dan penambahbaikan lebih membina.

Meskipun dapatan CPI tidak menunjukkan kedudukan rasuah secara langsung di sesebuah negara, dan mengmbil kira indeks yang digunakan untuk CPI adalah pelbagai, antara sembilan dan 13 indeks secara keseluruhan dan bergantung kepada negara yang dikaji, usaha yang diambil JKKMAR jika digubal dan dilaksanakan dengan sistematuk, menyeluruh dan holistik, kita boleh yakini bahawa ia akan membantu ke arah memperbaiki kedudukan Malaysia dalam kedudukan CPI. Kerajaan telah menzahirkan awal yang padu. Apa yang penting ia perlu dilaksanakan dengan baik. Sediakan dasar yang kukuh lagi padu.

Malah sebelum wujud pelbagai pandangan agar tadbir urus baik di agensi kerajaan ditambah baik bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih berkualiti untuk rakyat yang merupakan pemegang taruh dalam ekosistem pentadbiran sesebuah negara. Ini boleh dilakukan dengan memperbaiki kaedah penyampaian perkhidmatan dan juga mengelakkan ketirisan. Perkara ini turut dibangkitkan oleh Laporan Ketua Audit Negara dari semasa ke semasa.

Sebelum ini ramai pihak sangsi dan mengandaikan kepimpinan kerajaan Keluarga Malaysia di bawah Ismail Sabri tidak menunjukkan komitmen dari segi dasar antirasuah dalam 10 bulan pertama sejak mengambil alih kepimpinan kerajaan. Dengan pengumuman minggu lalu beliau telah membuktikan bahawa agenda antirasuah dan keperluan mewujudkan urus tadbir yang mantap kekal dalam diri beliau dan ia telah digambarkan menerusi kenyataan terbaru ini.

Kerajaan semasa diketuai Ismail Sabri memperlihatkan komitmen tetap mengutamakan memperkukuhkan dasar antirasuah yang diharapkan oleh rakyat. Sesi libat menyeluruh dengan kesemua pemegang taruh perlu diaktifkan ke arah menggubal dasar yang lebih mantap selari dengan keperluan dan cabaran semasa. Ketiga-tiga perkara yang diputuskan oleh JKKMAR, dan disokong dengan peruntukan mengekang antilompat parti, yang rangka awal dijangka diputuskan minggu ini sebelum dibawa ke Parlimen bulan depan, diyakini akan membantu ke arah satu sistem tadbir urus yang lebih baik.

Kita berada di persimpangan untuk mewujudkan iklim yang akan membawa negara ke arah sistem tadbir urus lebih baik dan lebih efektif.

Selaku mantan anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, salah satu daripada lima panel yang dibentuk di bawah Akta SPRM 2009, saya yakin dan percaya kesemua langkah yang diumumkan oleh kerajaan akan merealisasikan harapan rakyat. Diyakini bahawa kesinambungan usaha ini akan mewujudkan persekitaran perdagangan, perniagaan, pelaburan dan kehidupan yang lebih berkualiti.

Semoga akan ada satu ekosistem yang lebih kondusif bagi setiap individu dan kedua-dua sektor awam dan kerajaan memainkan peranan dalam usaha mencegah rasuah dengan berkesan. Sistem, peraturan dan undang-undang hanya satu komponen. Negara memerlukan rakyat yang ada budaya sanggup menolak rasuah, tidak kira kecil atau besar.

Rantaian mesej mengenai keperluan mencegah dan melawan rasuah perlu sampai ke jiwa setiap rakyat secara menyeluruh. Dengan itu baru kita dapat mematahkan rantai gejala rasuah.

Anda boleh lakukan. Kita boleh lakukan. Sama-sama kita lakukan.



* Penulis merupakan Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dan mantan anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), panel bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.