KUALA LUMPUR: Orang ramai tidak sewajarnya mempersoal atau mempertikai kompetensi doktor perubatan yang mendapat kelayakan kepakaran melalui laluan selari (parallel pathway).


Ringkasan AI
  • Kelayakan Pakar Melalui Laluan Selari: Doktor perubatan yang mendapat kelayakan kepakaran melalui laluan selari (parallel pathway) telah menjalani latihan kepakaran dalam pembedahan kardiotorasik dan diiktiraf oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC). Terdapat 35 pakar dalam bidang ini yang berkhidmat di hospital kerajaan dan swasta. Kualiti dan keselamatan pakar ini tidak dipertikaikan, kerana mereka mendapat pengiktirafan MMC dan menjalankan prosedur kardiotorasik.
  • Latihan Kepakaran Laluan Selari: Latihan kepakaran laluan selari bagi bidang ini bermula sejak tahun 2016. Pakar yang menamatkan kepakaran di FRCS menjalani latihan lima tahun di dalam dan setahun di luar negara. Latihan klinikal dijalankan di pusat-pusat jantung di Kementerian Kesihatan dan Institut Jantung Negara (IJN), serta latihan sangkutan di United Kingdom.
  • Peruntukan Kerajaan: Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan besar untuk program latihan kepakaran, termasuk Program Sarjana Perubatan yang dikendalikan oleh institusi pendidikan tinggi tempatan. Anggaran kos penajaan Program Sarjana Perubatan adalah RM142.4 juta setahun, manakala penajaan latihan kepakaran laluan selari berjumlah RM10 juta.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan mereka adalah antara pakar perubatan yang telah mendapat latihan kepakaran dalam pembedahan kardiotorasik dan diiktiraf Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Setakat ini, katanya, terdapat 35 pakar dalam bidang itu yang berkhidmat sama ada di hospital kerajaan mahupun swasta.

"Apa pun kepentingan kita, mengaitkan persoalan kualiti dan keselamatan itu adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab.

"Perlu saya ingatkan laluan 'parallel' dengan apa kelulusan FRCS (Fellowship of Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic Surgery) adalah majoritinya pakar bedah kardiotorasik.

"Baru-baru ini sahaja, program sarjana itu dimulakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2020, selama ini, majoriti daripada pakar bedah dan pakar kardiotorasik datangnya dari FRCS  dan selama ini merekalah yang menjalankan prosedur kardiotorasik.

"Jadi tidak ada pertikaian keselamatan kerana kesemua mereka mendapat pengiktirafan MMC dalam mengawal selia kualiti dan sebagainya.

"Mereka adalah pakar-pakar yang sedang berkhidmat sama ada di hospital kerajaan atau swasta.

"Tiba-tiba sahaja timbul pertanyaan atau lontaran-lontaran yang saya rasa tidak bertanggungjawab," katanya di Dewan Rakyat, di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian kepada soalan tambahan yang dikemukakan Lim Guan Eng (PH-Bagan) dan Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) berhubung isu kualiti pakar berkenaan dan keselamatan pesakit.

Dzulkefly turut menjelaskan, latihan kepakaran laluan selari  bagi bidang ini dilaksanakan sejak tahun 2016.

Mereka yang menamatkan kepakaran di FRCS katanya menjalani latihan lima tahun di dalam negara dan setahun di luar negara dengan latihan klinikal dijalankan secara kombinasi pusat-pusat jantung di Kementerian Kesihatan dan Institut Jantung Negara (IJN) serta latihan sangkutan di United Kingdom.

"Kerajaan memperuntukkan sejumlah peruntukan yang besar untuk program latihan kepakaran khususnya untuk Program Sarjana Perubatan yang dikendalikan oleh institusi pendidikan tinggi tempatan.

"Anggaran kos perbelanjaan bagi setahun untuk penajaan Program Sarjana Perubatan adalah RM142.4 juta manakala penajaan bagi latihan kepakaran laluan paralel berjumlah RM10 juta," tambahnya.